Pulau Sindalah bakal jadi hab pelancongan mewah di NEOM

RIYADH – Destinasi pulau mewah pertama di bandar pintar NEOM, Sindalah akan menjadi hab kepada  kapal-kapal layar untuk berlabuh dengan terbinanya apartmen-apartmen mewah di Arab Saudi, lapor akhbar Arab News kelmarin.

Putera Mahkota Arab Saudi merangkap Perdana Menteri, Putera Mohammed bin Salman mengumumkan perkara itu bagi projek membangunkan pulau berkenaan untuk meningkatkan industri pelancongan di negara tersebut.

Dengan meliputi kawasan seluas kira-kira 840,000 meter persegi, Sindalah merupakan salah satu daripada kumpulan pulau yang akan dibangunkan dalam projek NEOM. Ia dijangka mewujudkan 3,500 pekerjaan untuk sektor pelancongan serta perkhidmatan perhotelan termasuk riadah.

Pulau itu akan bertindak sebagai pintu masuk utama ke Laut Merah dan dijangka mula menerima  tetamu menjelang awal tahun 2024, demikian menurut agensi berita Saudi Press Agency (SPA).

“Ini adalah satu lagi detik penting untuk NEOM dan langkah besar dalam kerajaan merealisasikan cita-cita pelancongannya di bawah Wawasan 2030,” kata Putera Mohammed.

Tarikan lain yang terdapat di Sindalah termasuk kelab-kelab pantai mewah, kelab-kelab kapal layar dan 38 restoran yang akan memberikan pengalaman tiada tandingan di Laut Merah selain padang golf sembilan lubang.

Ia turut menyediakan 413 buah bilik hotel ultra premium sebagai pertambahan kepada 333 apartmen mewah. 

“Ia akan menjadi destinasi yang mana pengembara boleh mengalami keindahan sebenar NEOM dan Arab Saudi sekali gus menjadikan Sindalah sebagai masa depan perjalanan mewah,” ujar Putera Mohammed.

NEOM, yang merupakan projek bandar pintar bernilai AS$500 bilion (RM2.19 trilion) adalah salah satu projek terpenting yang menyokong strategi pelancongan nasional Arab Saudi ketika Riyadh mahu mempelbagaikan ekonominya yang sangat bergantung kepada minyak. – Agensi 

The post Pulau Sindalah bakal jadi hab pelancongan mewah di NEOM appeared first on Kosmo Digital.