KLANG – Sebanyak 2,600 ayam bulat percuma habis diagihkan dalam tempoh sejam kepada 1,300 penduduk Kampung Sungai Udang di sini, bagi menyambut lebaran Aidilfitri.
Program bermula pukul 9 pagi itu adalah keprihatinan ahli perniagaan dalam sektor pembinaan, Saleh Sukiman,65, bersama keluarga dan rakannya dalam mengurangkan kos hidup kepada kariah yang memerlukan.
Menurut Saleh, program tahunan tersebut telah dilakukan sejak 20 tahun lalu, namun terhenti akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.
Katanya, ia adalah lebih kepada berkongsi rezeki selain mengurangkan sedikit beban kepada penduduk menerusi barangan keperluan.
“Setiap keluarga menerima dua ekor ayam dan kita berharap sumbangan ini dapat menceriakan mereka yang memerlukan dalam menyambut ketibaan lebaran beberapa hari sahaja lagi.
“Alhamdulillah, tahun ini kami diberikan peluang untuk menyambung kembali kerja kebajikan yang tertangguh sejak lebih dua tahun kerana pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu, seorang penerima, Azhar Rani,53, menzahirkan rasa syukur dengan sumbangan itu amat bermakna bagi menampung keperluan juadah pada Aidilfitri nanti.
“Berbaloi beratur untuk mendapatkan ayam hari ini. Semoga penderma diberi pahala berganda di bulan Ramadan ini.
“Sudah tentunya, bantuan ini meringankan beban kami sekeluarga dan masih ada lagi yang prihatin dengan golongan yang kurang berkemampuan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post 2,600 ayam percuma licin dalam sejam appeared first on Kosmo Digital.