PETALING JAYA – Notis terhenti keahlian serta-merta telah diserahkan kepada enam wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang melakukan ketidakpatuhan di bawah Fasal 10.4 Perlembagaan parti.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, penyerahan notis yang dibuat hari ini selaras arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat pada 7 Jun lalu dan setelah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang bermesyuarat semalam.
“Bagi kes Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman pula, keahlian beliau telah terhenti serta-merta menurut Fasal 10.2.6 Perlembagaan.
“Notis terhenti secara serta-merta keahlian telah dihantar kepada beliau lebih awal iaitu pada 17 Mei 2024,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang turut menegaskan, kesemua proses berkenaan dilakukan menepati lunas Perlembagaan parti dan perundangan negara di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang kerajaan negeri terlibat.
Terdahulu, enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis MPT parti berkenaan.
Selain Suhaili, enam wakil rakyat lain yang terlibat ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) dan ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. – KOSMO! ONLINE
The post 6 wakil rakyat Bersatu dapat notis terhenti keahlian serta-merta appeared first on Kosmo Digital.