Kajian dapati duda, janda lebih berisiko nyanyuk

OSLO, Norway –  Satu kajian baharu mendedahkan bahawa pasangan yang bercerai boleh menyebabkan mereka mengalami masalah kesihatan serius, lapor portal berita Wion News semalam.

Menurutnya, mereka yang bercerai  atau membujang pada pertengahan usia akan meningkatkan risiko mendapat penyakit demensia atau nyanyuk.

Bagaimanapun, pasangan yang masih bersama untuk tempoh masa lama boleh mengurangkan risiko mengalami demensia pada usia tua dengan ketara.

Kajian itu dilakukan oleh pasukan penyelidik  Institut Kesihatan Awam Norway (NIPH/FHI) yang menganalisis status perkahwinan kumpulan  berumur antara 44 tahun hingga 68 tahun  sejak 24 tahun lalu.

Mereka mendapati status perkahwinan seseorang memberi kesan kepada peluang untuk mendapat penyakit nyanyuk atau gangguan kognitif ringan selepas berumur 70 tahun.

Seorang penyelidik kajian itu, Vegard Skirbekk berkata, kaitan antara demensia dan status perkahwinan adalah mereka yang berumah tangga memiliki  pasangan untuk membantu mengatasi masalah serta tekanan dalam kehidupan.

Katanya, berkahwin bermakna  manusia mempunyai seseorang untuk bercakap serta berkongsi beban.

Ini dapat membantu seseorang untuk menangani  kesukaran dengan lebih baik dan kurang terdedah kepada tekanan. 

Portal berita South China Morning Post (SCMP) melaporkan bahawa saintis berkenaan  berkata: “Lelaki mungkin penerima manfaat terbesar daripada perkahwinan.” – Agensi

The post Kajian dapati duda, janda lebih berisiko nyanyuk appeared first on Kosmo Digital.