MELAKA – Padah memukul dan mengugut mahu membunuh teman wanita demi mendapatkan wang, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri membuat ketetapan itu selepas tertuduh, Sharezuan Zaini, 31, membuat pengakuan bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan berkata, ‘Aku tak akan puas hati selagi kau masih hidup’ terhadap seorang wanita berusia 40 tahun dengan niat hendak mendatangkan kegentaran dan ketakutan kepada mangsa.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4 pagi di sebuah rumah di Jalan Melaka Raya 14 dalam daerah Melaka Tengah pada 7 November 2024.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada tarikh, masa dan di tempat sama didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa sama dengan cara memukul di beberapa bahagian badan hingga menyebabkan bengkak dan kecederaan.
Mengikut fakta kes, teman wanitanya yang juga pengadu memaklumkan dia kerap dipukul oleh tertuduh dan pada hari kejadian lelaki itu turut mengulangi ugutan bunuh sebanyak enam kali serta memukulnya di seluruh badan kerana mahu meminta wang.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Nor Syaliati kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan bagi pertuduhan pertama serta lapan bulan untuk pertuduhan kedua dan beliau memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 8 November 2024. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki mengaku pukul, ugut bunuh kekasih sebab wang appeared first on Kosmo Digital.