Majlis Ulama Indonesia tetapkan ujian saringan Covid-19 tidak batalkan puasa

JAKARTA – Pengerusi Majlis Ulama Indonesia (MUI) Bahagian Fatwa, Asrorun Niam Sholeh memaklumkan bahawa suntikan vaksin tidak akan membatalkan puasa seseorang, lapor laman berita Tribunnews, kelmarin.

Menurut Asrorun, ibadah puasa tidak menjadi penghalang sekiranya seseorang mahu mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19.

Selain itu, beliau juga menyatakan hal yang sama bagi pelaksanaan ujian calitan sama ada antigen pantas atau ujian tindak balas rantaian polimerase transkripsi balikan (PCR).

Asrorun berkata, walaupun alat ujian dimasukkan ke dalam hidung atau lelangit mulut, ia tidak membatalkan puasa kerana tidak masuk ke dalam perut.

“Perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu ke bawah kerongkong dan sampai ke perut. Oleh itu MUI telah menetapkan garis panduan bahawa ujian calitan tidak membatalkan puasa,” jelasnya. – AGENSI 

The post Majlis Ulama Indonesia tetapkan ujian saringan Covid-19 tidak batalkan puasa appeared first on Kosmo Digital.