Titah Adendum: 2 Mei pendengaran permohonan Tengku Zafrul jadi pencelah

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Khamis ini bagi mendengar permohonan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai pencelah berkaitan perintah tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu disahkan Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi media di sini hari ini.

Menurur Muhammad Farhan, Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan pukul 2.30 petang untuk mendengar permohonan berkenaan yang mana prosiding itu dimaklumkan oleh mahkamah melalui emel semalam berhubung tarikh pendengaran terbabit.

Terdahulu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu memohon sebagai pencelah supaya dibenarkan mahkamah memfailkan afidavit bagi membetulkan dakwaan kesilapan fakta afidavit dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong permohonan semakan kehakiman oleh Najib.

Tengku Zafrul sebelum ini telah menghantar surat kepada mahkamah bagi memohon kebenaran untuk memfailkan afidavit membetulkan fakta dalam afidavit yang difailkan Ahmad Zahid.

Pada 17 April lalu, Tengku Zafrul dalam satu kenyataan memaklumkan akan membuat pembetulan fakta terhadap afidavit tambahan oleh Ahmad Zahid antara lain mengesahkan kewujudan Titah Adendum (tambahan) namun tidak mendedahkan kesilapan fakta yang dimaksudkan.

Menurut afidavit tambahan yang difailkan oleh Ahmad Zahid pada 9 April lalu, selain mengesahkan telah melihat dan membaca Titah Adendum tersebut, Ahmad Zahid turut menyatakan selain dirinya dan Tengku Zafrul; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan anggota kerajaan lain telah melihat salinan Titah Adendum tersebut dan boleh mengesahkan perkara sama.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai salinan titah tersebut memandangkan titah berhubung tahanan dalam rumah itu belum dilaksanakan namun percaya bahawa Peguam Negara mempunyai salinan titah tersebut.

Pada 1 April lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.

Menurut afidavit yang difailkan, bekas Perdana Menteri itu mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung Titah Adendum pada 12 Februari lalu.

Kata pemohon, pada 29 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan ‘titah utama’ iaitu supaya hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib mendakwa titah adendum turut dikeluarkan pada tarikh sama tetapi mendakwa ia tidak didedahkan oleh mana-mana responden sehingga kini. – KOSMO! ONLINE

The post Titah Adendum: 2 Mei pendengaran permohonan Tengku Zafrul jadi pencelah appeared first on Kosmo Digital.