Nafas komited tingkat integriti warga peladang, bebas rasuah

PETALING JAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) terus komited dalam usaha meningkatkan integriti warga peladang agar bebas daripada gejala rasuah menerusi Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Majlis tersebut disertai seramai 257 warga kerja Nafas yang diketuai Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob dan disaksikan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Razim Mohd. Noor.

Zamri berkata, IBR merupakan inisiatif yang diperkenalkan SPRM bagi memberi penekanan kepada ikrar dan janji dalam kapasiti individu supaya tidak terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa ketika menjalankan tugas.

“Sebagai agensi bernaung di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Nafas memikul tanggungjawab dalam memperbaiki sosio-ekonomi para peladang dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan serta memajukan industri pertanian negara.

“Justeru, penekanan ikrar yang dibuat secara sukarela ini penting supaya setiap individu akan melaksanakan tugas dengan lebih bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, IBR juga merupakan tanda komitmen dalam memperkasakan integriti dan nilai insan yang tinggi sekali gus menjadikan Nafas sebuah organisasi yang telus dan cemerlang. – KOSMO! ONLINE

The post Nafas komited tingkat integriti warga peladang, bebas rasuah appeared first on Kosmo Digital.