10 tahun kahwin, umur Pak Yob 80 tahun baru timang anak

PETALING JAYA – Pasangan suami isteri yang tular selepas menimang cahaya mata dikala masing-masing berada di usia lanjut menganggap pengalaman tersebut begitu luar biasa kerana sudah lama tidak menguruskan anak kecil.

Zaleha Zainul Abidin, 42, berkata, anak perempuan sulungnya (berusia 5 hari) bersama suami, Yob Ahmad, 80, begitu mudah diuruskan dan tidak banyak meragam.

“Cuma anak akan menangis bila lapar dan membuang sahaja. Di sebelah malam suami yang selalu menjaga. Sememangnya pengalaman baru dan luar biasa sebab sudah lama kami tiada anak kecil,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Baru-baru ini tular sebuah video memaparkan Yob atau mesra disapa Pak Yob sedang mengiqamatkan zuriat pertama pada usianya sudah mencecah 80 tahun.

Video anak perempuan Pak Yob selamat dilahirkan oleh isterinya pada 31 Mei lalu, pukul 9.30 malam tular di media sosial sehingga mendapat lebih 2.5 juta tontonan.

Zaleha yang menetap di Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang berkata, dia dan suami berasa sangat terkejut dan berada di luar jangkaan mereka ketika mengetahui dirinya hamil selepas mendirikan rumah tangga selama 10 tahun.

Katanya, pada awal perkahwinan sememangnya dia dan suami ada merancang untuk menimang cahaya mata namun mengalami keguguran pada lima tahun lepas.

“Selepas keguguran, saya pasrah dan reda serta menganggap kemungkinan kami berdua tidak boleh ada zuriat lagi disebabkan faktor usia.

“Tetapi bila tahu sahaja saya mengandung, kami sangat-sangat terkejut dan gembira kerana berita ini betul-betul di luar jangkaan kami.

“Nasihat saya kepada pasangan di luar sana yang masih mencuba untuk dapatkan zuriat, banyak dekatkan diri dengan Allah dan sentiasa bersangka baik dengan-Nya. Sebab Allah sebaik-baik perancang,” katanya.

Ujar Zaleha, ini merupakan perkahwinan kedua dia dan Pak Yob, dimana perkahwinan pertamanya bersama bekas suami dikurniakan tiga anak perempuan manakala suaminya mempunyai empat cahaya mata bersama isteri terdahulu. – KOSMO! ONLINE

The post 10 tahun kahwin, umur Pak Yob 80 tahun baru timang anak appeared first on Kosmo Digital.