KANGAR – Kadar pengangguran di negeri ini menurun dua peratus pada suku pertama tahun ini dengan seramai 2,400 orang menganggur.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil berkata, rekod itu adalah berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan (DOSM).
Katanya, secara keseluruhan, kadar pengangguran nasional berada pada 3.3 peratus atau seramai 561,100 orang dalam tempoh sama.
“Berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari Januari hingga 5 Julai lalu, seramai 124 pekerja di Perlis kehilangan pekerjaan yang mana 24 daripadanya berjaya ditempatkan semula dalam pekerjaan.
“Perkeso juga mencatatkan seramai 236,274 pencari kerja di portal MYFutureJobs bagi seluruh negara sepanjang tempoh tersebut dengan 2,400 daripadanya berasal dari Perlis,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Fakhrul Anwar Ismail (Pas-Bintong) mengenai langkah dan perancangan kerajaan mewujudkan peluang kerjaya semi profesional dan profesional di negeri tersebut.
Menurut Asrul, bagi mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini, Perkeso dan kerajaan negeri melaksanakan beberapa inisiatif utama seperti kerjasama menerusi Portal MYFutureJobs. – KOSMO! ONLINE
The post 2,400 orang menganggur di Perlis appeared first on Kosmo Digital.