JOHOR BAHRU – Polis Johor mengesahkan telah menerima 14 lagi laporan polis berhubung insiden penggunaan kalimah Allah di negeri ini, menjadikan keseluruhan laporan diterima berhubung kes itu sebanyak 25 laporan.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, sebelum ini pihaknya hanya menerima 11 laporan polis yang dibuat pelbagai pihak serta satu laporan polis daripada wakil kilang ekoran ugutan yang diterima berhubung kejadian berkenaan.
“Kelmarin, wakil kilang membuat laporan polis berhubung satu ugutan yang diterima. Berdasarkan aduan ugutan itu berlaku secara bersemuka pada 19 Mac lalu, namun laporan polis hanya dibuat pada 23 Mac setelah kejadian tersebut tular di media sosial.
“Kita sedang mengamati kandungan media sosial yang tular sebelum tindakan lanjut diambil. Kes ini disiasat mengikut seksyen 506 kanun keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 Tahun 2024 Peringkat Negeri Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Kumar, pihak kini dalam proses mengambil keterangan daripada beberapa saksi lain bagi melengkapkan siasatan.-KOSMO! ONLINE
The post 25 laporan polis diterima berhubung isu kalimah Allah di Johor – M. Kumar appeared first on Kosmo Digital.