3 rumah yang diubahsuai kilang perabot musnah terbakar

AMPANG – Tiga buah rumah yang diubahsuai sebagai kilang industri kecil perabot yang terletak di Jalan Indah 6, Kampung Ampang Indah, di sini musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 12.20 malam.

“Seramai 13 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dan Pandan dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian pada pukul 12.30 malam didapati kebakaran berlaku melibatkan tiga buah rumah jenis setingkat kelas C yang telah ditukar guna sebagai kilang industri kecil yang menempatkan barangan perabot,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan 80 peratus rumah musnah dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pukul 1.40 pagi.

Katanya, tiada mangsa terlibat dalam kejadian dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE

The post 3 rumah yang diubahsuai kilang perabot musnah terbakar appeared first on Kosmo Digital.