8 kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang di PD – Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan

SEREMBAN – Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang termasuk dua kes kritikal berlaku di Port Dickson.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datin Dr Harlina Abdul Rashid berkata, kejadian keracunan tersebut mula dikesan semalam apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson menerima notifikasi dari Hospital Port Dickson.

Menurutnya, sebanyak dua kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala lima kes dimasukkan ke wad biasa, dan satu kes dirawat sebagai pesakit luar.

“Siasatan awal mendapati kesemua kes terdiri daripada beberapa buah keluarga yang berbeza dan mempunyai sejarah memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar Port Dickson.

“Kesemua kes mengalami gejala sakit kepala, kebas tangan dan kaki, serta lemah otot. Terdapat dua kes dimasukkan ke ICU kerana mengalami gejala yang lebih teruk iaitu paralisis,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Dr Harlina lagi, siasatan kejadian masih dijalankan oleh JKNNS bersama Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dan beberapa sampel diambil untuk analisa makmal.

Menurutnya, pemakluman kepada semua fasiliti kesihatan dibuat untuk mengenalpasti kes-kes yang mempunyai gejala yang sama dengan sejarah pengambilan kupang atau dwicengkerang yang lain. – KOSMO! ONLINE

The post 8 kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang di PD – Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan appeared first on Kosmo Digital.