‘Saya tidak mampu ajar anak’

PETALING JAYA – “Saya tidak pandai, saya tidak boleh ajar anak saya, saya harap mereka tidak jadi macam saya,” jelas seorang pemanggil yang meluahkan perasaanya ketika membuat panggilan ke konti radio Suria FM baru-baru ini.

Pemanggil yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamdan itu meluahkan isi hatinya yang tidak mampu untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada lima anaknya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika ini.

Suasana ceria bertukar hiba apabila pemanggil itu mendedahkan dia tidak mampu untuk mengajar anak-anaknya kerana tidak mempunyai pendidikan.

“Saya sudah usaha sebaik mungkin, keluar cari rezeki kepada keluarga. Saya sedih apabila anak mengatakan saya tidak boleh mengajar mereka ketika PdPR ketika ini,” jelasnya.

Kisah pemanggil ini menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari ini dan turut mendapat komen daripada orang ramai tentang kesusahan yang sedang dialami.

“Ramai yang susah, susah mereka tidak seperti kita. Terharu apabila penyampai pandai menenangkan pemanggil itu. Tolong la orang-orang kaya, menteri temgok bagaimana rakyat harungi tempoh sukar ini.

“Lihat balik bagaimana orang susah terutama di kampung yang tiada peranti untuk anak-anak yang belajar di rumah, faham keadaaan rakyat ketika ini,” ujar netizen menggunakan akaun Fakhri Nazim di Facebook.

Sementara itu, bagi penyampai yang mengendalikan segmen Pagi di Suria ketika itu, Issey Fazlisham berkata, ketika pemanggil tersebut hubungi mereka pada hari itu, suasana dalam bilik konti terus jadi hiba.

“Saya bagi sepenuhnya masa kepada encik Hamdan itu meluahkan perasaan dia. Memang luluh hati saya dengan mengetahui kesusahan orang di luar sana yang tidak terfikir oleh akal kita.

“Paling terkejut apabila dia nyatakan yang dia tidak pandai untuk mengajar anak-anaknya ketika sesi PdPR dan tidak mampu untuk menyediakan kemudahan untuk belajar secukupnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

The post ‘Saya tidak mampu ajar anak’ appeared first on Kosmo Digital.