Polis buru Jimi selepas Jiji serah diri

BACHOK – Salah seorang suspek yang dipercayai menetak pemilik burung murai cerek sehingga parah di Kampung Pauh Jabit, Tawang di sini kelmarin telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bharu semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, suspek, Mohamad Fairu Azizi Nawi,35, atau dikenali sebagai Jiji menyerah diri pada pukul 7.30 petang semalam selepas gambarnya disiarkan oleh portal berita tempatan.

Menurutnya, sebelum ini, suspek telah melarikan diri ketika polis menjalankan serbuan di rumahnya ke Kampung Pauh sembilan, Tawang di sini kelmarin.

“Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

“Polis kini sedang menjejak seorang lagi suspek iaitu Muhammad Azmi Abdul Aziz,36, atau dikenali sebagai Jimi untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mohamad Ismail, penangkapan kedua-dua suspek itu perlu dijalankan dengan segera untuk menjejak seorang lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, tindakan seorang buruh menyiasat kehilangan seekor burung murai cerek miliknya dipercayai dicuri memakan diri selepas ditetak dengan golok dan pedang di sebuah rumah di Kampung Pauh Jabit, Tawang di sini kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 42 tahun parah pada kepala, betis dan lutut selain putus ibu jari tangan kanan selepas ditetak tiga lelaki dipercayai rakan pencuri unggas bernilai RM1,000 tersebut. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

The post Polis buru Jimi selepas Jiji serah diri appeared first on Kosmo Digital.