PETALING JAYA- Penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di kebanyakan jalan utama khususnya sekitar ibu negara menjadikan peranti tersebut sebagai salah satu keperluan wajib buat orang ramai.
Susulan itu, seorang pengguna laman media sosial Facebook dikenali sebagai Fad Alya mengambil pendekatan berkongsi kelebihan RFID bagi membantu orang ramai agar tidak tersekat teruk akibat kesesakan di lorong-lorong tol.
Katanya, orang ramai boleh membeli pelekat RFID menerusi platform jualan dalam talian dan menampal secara sendiri pada kenderaan masing-masing.
“Kamu sudah ada RFID ke belum? Kalau belum beli saja kat jualan dalam talian, tampal sendiri macam saya punya.
“Saya punya tampal sendiri saja dekat cermin depan kereta, nampak style (bergaya) sikit daripada tampal dekat lampu. Sudah dua tahun pakai dan masih elok,” katanya dalam satu hantaran di Facebook tadi.
Katanya, penggunaan RFID membolehkan kereta dipandu bergerak laju susulan lorong itu jarang digunakan oleh pengguna jalan raya yang lain.
Pada masa sama, Fad Alya turut berkongsi mengenai kelebihan RFID antaranya dapat ditampal secara sendiri selain boleh ditambah nilai menerusi dalam talian sahaja.
Bagaimanapun, tinjauan Kosmo! di ruangan komen sekitar aplikasi Facebook mendapati rata-rata orang ramai masih belum bersedia dengan penggunaan RFID selain menganggap sebagai menyusahkan.
“Menyusahkan saja, lebih senang kalau guna Touch ‘n Go. Ini kalau tiba-tiba tidak boleh ‘detect’ macam mana,” soal Emar Naizatul Akmar
“Pakai benda ini cuma boleh guna satu kereta saja, pakai Touch ‘n Go boleh guna banyak benda termasuk parkir dan beli-belah, apapun pilihan masing-masing,” kata Edy Rizman Rahmat. – K! ONLINE
The post Pasang sendiri pelekat RFID elak kesesakan appeared first on Kosmo Digital.