PETALING JAYA – Seorang pengguna di aplikasi X hari ini menyuarakan kekecewaannya apabila sebuah novel karya tempatan laris dijual walaupun terang-terangan mengandungi elemen seks.
Dalam hantaran sama, pengguna tersebut turut menyelar tindakan penulis yang tidak segan-segan menyelitkan elemen agama dalam novel sama walaupun kandungannya tidak selaras dengan agama.
“Selepas adegan tidak baik, ada selit ayat Al-Quran.
“Lebih menakutkan, saya pernah berjumpa pembaca cilik berusia 11 tahun yang pernah baca novel ini di Wattpad.
“Gadis itu sendiri mengaku dia suka golongan duda disebabkan pembacaannya dalam novel tersebut,” katanya dalam ruangan kapsyen.

Difahamkan, novel tersebut telah dilamar oleh penerbit tempatan setelah ia menjadi popular di aplikasi Wattpad.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai menyuarakan kerisauan masing-masing berkenaan kualiti penulisan serta isi buku yang dijual pada masa sekarang.
Bahkan, peminat-peminat buku juga tidak menafikan isu ‘soft porn’ dalam karya tempatan juga bukanlah isu baharu, malah sudah berkali-kali berlaku.
“Sudah banyak kali naik isu ini. Kalau macam ini, boleh disimpulkan pihak penerbit tidak cakna. Hanya terbitkan buku disebabkan penulis ramai pengikut. Tetapi bila dibaca, jalan ceritanya biasa-biasa sahaja,” kata Ryu.
“Bila dah dewasa baru sedar banyak novel cinta yang popular di kalangan remaja perempuan ini ada elemen yang tidak baik. Dulu popular cerita mangsa rogol kahwin dengan perogol,” kata Gojira.
“Ini sangat merisaukan. Penerbit macam ini sepatutnya diharamkan. Kalau buku berunsur politik boleh haramkan, kenapa tidak buku begini?,” kata Sue.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 1,300 tanda suka dan 413,000 tontonan. – KOSMO! ONLINE
The post Orang ramai terkejut, novel lucah laris di pasaran appeared first on Kosmo Digital.