PETALING JAYA – Pengumuman pembebasan awal bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hari ini memberi sinar kepada barisan penyokong bekas Presiden UMNO itu.
Menerusi kenyataan Lembaga Pengampunan, Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 iaitu enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya.
Beliau juga menerima pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta sepertimana yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 pada 29 Januari lalu.
Berita baik itu turut dikongsikan di media sosial Najib dan rata-rata pengikutnya meluahkan rasa syukur dan tidak sabar menantikan kepulangan ‘bossku’.
“Alhamdulillah, ‘bossku’ akan pulang. Masanya hampir tiba, kami doakan moga ada pengampunan seterusnya selepas ini. Kami tahu Datuk Seri tidak salah, teruskan berjuang,” kata Tahir.
“Semoga bossku sihat bila keluar nanti dan boleh jadi next PM (Perdana Menteri seterusnya), kami sentiasa sokong dan tak pernah berpaling tadah,” kata Syafinaz.
“Harga sebuah pengorbanan, tidak abang Datuk Seri. Kami sedia menanti kepulangan Datuk Seri, sekejap sahaja untuk empat tahun itu, moga Datuk Seri terus kuat dan pulang dengan semangat baru selepas ini,” komen Malik Zainal. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Alhamdulillah, ‘bossku’ akan pulang’ appeared first on Kosmo Digital.