PETALING JAYA – Ustazah Farah Cie memaklumkan dirinya trauma ekoran kejadian tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Dalam masa sama, beliau turut berkongsi keadaan terkini pengawal peribadinya yang masih tidak sedarkan diri.
“Mohon maaf mesej bertalu tidak terbalas. Masih trauma kejadian di depan mata.
“Sekarang pengawal peribadi Farah masih tidak sedarkan diri. Sama-sama kita doakan kesembuhan Along sihat seperti sedia kala,” katanya di Facebook.
Kosmo! semalam melaporkan, pengawal peribadi Ustazah Farah Cie cedera parah selepas ditembak suspek dalam kejadian di KLIA, awal pagi semalam.
Suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 38 tahun itu kemudiannya melarikan diri ke utara.
Susulan itu, pihak polis menggesa suspek untuk menyerah diri secara baik di mana-mana balai polis.
Pihak polis turut menasihati orang ramai yang melihat suspek untuk berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa namun tidak bertindak bersendirian ekoran lelaki terbabit disifatkan sebagai berbahaya. – KOSMO! ONLINE
The post Ustazah Farah Cie trauma, pengawal peribadi masih tak sedarkan diri appeared first on Kosmo Digital.