Euro 2024: Perancis hapus badi penentuan penalti

HAMBURG – Pengendali Perancis, Didier Deschamps mengakui lega selepas menyaksikan pasukan menamatkan badi 26 tahun untuk menang penentuan penalti 5-3 ke atas Portugal sekali gus mara ke pusingan separuh akhir Euro 2024.

Pada perlawanan ulangan final edisi 2016 itu, kedua-dua pasukan gagal dipisahkan sepanjang 120 minit selepas terikat tanpa jaringan dengan rentetan peluang keemasan telah disiakan.

Namun, skuad Les Bleus lebih bersedia pada aksi penentuan penalti apabila sempurnakan semua sepakan yang diambil, manakala Joao Felix menjadi duri dalam daging buat Portugal apabila gagal memanfaatkan penalti yang ditugaskan.

Kata Deschamps, perlawanan yang diharungi sangat sukar kerana kedua-dua pasukan terdesak untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Euro kali ini.

“Sudah lama kita tidak menang aksi penentuan penalti sejak kali terakhir pada Piala Dunia 1998. Ini adalah aksi yang sukar kerana Portugal memberikan tentangan sengit dengan menguasai sebahagian besar bola.

“Namun, kita kekal tenang sehingga wisel penamat dan pujian wajar diberikan kepada pemain yang mengambil sepakan penalti kerana melunaskan amanah yang diberikan sebaik mungkin.

“Kini, kita sudah berada di separuh akhir dan perlu perbaiki segala kelemahan yang ada dalam misi mara ke pentas final,” katanya.

Sementara itu, Deschamps turut mempertahankan kapten pasukan, Kylian Mbappe yang dikritik hebat kerana masih gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan sepanjang kempen Euro kali ini.

“Saya rasa Mbappe masih lagi kepenatan dan belum mencapai tahap seratus peratus. Dia juga telah jujur dengan menyatakan masih sukar untuk membuat larian pantas ekoran kecederaan patah hidung yang dialami sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pemain sayap Perancis, Ousmane Dembele mengesahkan pasukan sudah melakukan latihan penalti sejak awal minggu ini.

Kata Dembele, kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final Piala Dunia 2022 kepada Argentina telah memberi igauan negeri buat pasukan.

“Kami sudah menjalani sesi latihan penalti dengan kerap dan barisan pemain kini sudah yakin untuk memikul tanggungjawab yang diberikan. Justeru, kami lebih layak mara ke separuh akhir,” katanya. – AGENSI

The post Euro 2024: Perancis hapus badi penentuan penalti appeared first on Kosmo Digital.