KAJANG – Puluhan mat rempit terpaksa melakukan ‘senaman’ dengan menolak motosikal masing-masing selepas ditahan menerusi Op Samseng Jalanan di Jalan Kajang Utama 2, di sini, semalam.
Menerusi satu video tular, sekumpulan penunggang motosikal tersebut dilihat menolak kenderaan mereka selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan jalan raya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, menerusi operasi dijalankan, sebanyak 40 buah motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda diperiksa pada pukul 6 petang.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan itu, sejumlah 75 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Mereka yang diperiksa pada operasi khas ini berusia lingkungan 15 hingga 25 tahun dan kebanyakan kesalahan yang dikesan adalah tiada lesen memandu.
“Ekoran tiada lesen memandu, sebanyak 40 buah motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, selain tiada lesen memandu, mereka yang ditahan melakukan kesalahan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan ubah suai motosikal.
Tegas beliau, orang ramai terutama ibu bapa diingatkan untuk memantau tingkah laku anak-anak agar tidak terpengaruh dengan gejala tidak sihat.
“Pengguna jalan raya diminta mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti lumba haram atau menjadi samseng jalanan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.
The post [VIDEO] Mat rempit tolak motosikal ramai-ramai selepas ‘dipukat’ polis appeared first on Kosmo Digital.