AMPANG JAYA – Kegiatan sindiket pecah rumah dan curi kenderaan terbongkar selepas polis menahan tujuh suspek dalam satu operasi di Cheras dan Air Keroh, Melaka, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan pecah rumah itu berlaku sekitar pukul 5 pagi di Taman Dato Ahmad Razali, di sini, 26 November lalu.
“Mangsa mendengar bunyi bising dari tingkat bawah rumahnya. Selepas pemeriksaan, mangsa mendapati kunci rumah, kunci kenderaan, beberapa utas jam tangan, dompet, dan sebuah kenderaan jenis Honda CRV telah hilang, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM58,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bertindak atas laporan mangsa, Mohd. Azam memaklumkan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya melancarkan operasi dan berjaya menahan tujuh lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 45 tahun.
“Hasil serbuan, polis berjaya merampas semula Honda CRV milik mangsa serta beberapa barang curi lain.
“Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing menunjukkan mereka positif dadah,” katanya.
Menurutnya, kenderaan curi itu dipercayai akan dijual secara haram kepada pembeli tertentu.
“Suspek kini ditahan reman hingga 12 Disember untuk membantu siasatan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 7 lelaki ditahan pecah rumah, curi Honda CRV appeared first on Kosmo Digital.