KUANTAN – Terperdaya dengan janji suspek yang boleh membantu mengelak cukai pelaburan membuatkan seorang warga emas mengalami kerugian sebanyak RM117,000 selepas terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian di Temerloh itu bermula 8 November lalu selepas mangsa yang merupakan lelaki berumur 67 tahun menyertai satu skim pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan lumayan melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek mengakui pemegang jawatan tinggi dalam Bursa Saham Malaysia dan menyatakan tiada cukai pelaburan dikenakan sekiranya menyertai pelaburan pada hari tersebut.
“Mangsa telah membuat sembilan kali transaksi ke lapan akaun bank berlainan sebanyak RM 117,000,” katanya di sini hari ini
Menurutnya, mangsa mula menyedari ditipu apabila gagal berhubung dengan suspek dan tidak menerima sebarang keuntungan sepertimana yang dijanjikan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan miliknya.
“Pihak polis kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Mahu elak cukai pelaburan, warga emas rugi RM117,000 appeared first on Kosmo Digital.