Tun Ramli angkat sumpah TYT Pulau Pinang Ke-9

GEORGE TOWN – Bekas Menteri Besar Perak, Tun Ramli Ngah Talib mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan di Dewan Sri Pinang di sini, hari ini.

Ramli, 84, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan berkuat kuasa pada 1 Mei 2025 bagi tempoh empat tahun hingga 30 April 2029.

Pelantikan Ramli menggantikan Ahmad Fuzi yang menyandang jawatan itu bermula 1 Mei 2021. Istiadat angkat sumpah jawatan di Dewan Sri Pinang, bermula pukul 10 pagi hari ini.

Ramli mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah itu dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Rozana Ali Yusoff dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Long.

Majlis angkat sumpah itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman.

Terdahulu, Ramli memeriksa barisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Mejar Mohd. Solleh Jamal.

Sebanyak 17 das tembakan dilepaskan semasa upacara Kawalan Kehormatan Utama (KKU) menyambut ketibaan Yang Dipertua Negeri oleh Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja

Turut hadir isteri Ramli, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah. Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan barisan kepimpinan negeri. – KOSMO! ONLINE

The post Tun Ramli angkat sumpah TYT Pulau Pinang Ke-9 appeared first on Kosmo Digital.