Ada barang hilang di rumah bekas suami influencer Kelantan

KOTA BHARU – Polis mengesahkan ada beberapa barangan yang hilang di rumah bekas suami pempengaruh media sosial yang dicekup selepas dipercayai memecah masuk kediaman lelaki itu kira-kira dua minggu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, wanita yang berusia dalam lingkungan 20-an itu mengaku dia melakukan perbuatan tersebut.

Menurutnya, sehubungan itu, siasatan masih diteruskan dan kes tersebut dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

“Siasatan lanjut mendapati, ada barang yang hilang di dalam rumah bekas suami suspek yang terlibat dalam kes itu.

“Wanita terbabit juga masih dalam tahanan reman. Apabila kertas siasatan lengkap, kita akan serah kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk prosiding pendakwaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Balai Polis Kok Lanas, di sini hari ini.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang pempengaruh media sosial direman enam hari bermula Selasa lalu selepas dipercayai memecah masuk rumah bekas suaminya di Desa Rahmat di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, polis menerima satu laporan daripada bekas madu wanita itu kira-kira 9.47 malam pada Ahad lalu mengenai kejadian pecah rumah suaminya yang didakwa berlaku pada 22 Julai.

Menurutnya, pengadu mendapati pintu gelongsor depan rumahnya berada dalam keadaan terbuka sebelum mendapati beberapa barangan hilang.– KOSMO! ONLINE

The post Ada barang hilang di rumah bekas suami influencer Kelantan appeared first on Kosmo Digital.