ALOR GAJAH – Seorang peniaga mengalami kecederaan parah di bahagian tangannya selepas ditetak adik kandung gara-gara enggan meminjamkan motosikalnya di Kampung Nelayan Kuala Linggi, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa berusia 33 tahun mengalami putus urat di bahagian tangan kiri sehingga menyebabkan tiga jarinya tidak dapat digerakkan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, sebelum ditetak, mangsa sempat ke kaunter aduan di Balai Polis Kuala Sungai Baru untuk mendapatkan bantuan daripada anggota.
Katanya, mangsa memaklumkan adiknya bernama Tuah, 27, sedang mengamuk di rumah dan memukulnya menggunakan sebatang kayu serta merosakkan bahagian hadapan motosikal miliknya.
“Mangsa memberitahu dia memerlukan bantuan pihak polis untuk pergi ke rumahnya dan berjumpa dengan adik lelakinya bernama Tuah.
“Anggota cegah jenayah bersama bantuan Rela kemudian telah menemani mangsa ke rumahnya untuk menahan suspek, namun lelaki tersebut menjadi agresif dan terus menyerang abangnya menggunakan sebilah parang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, hasil siasatan awal, suspek yang tidak bekerja dikatakan bertindak agresif selepas berang mangsa enggan meminjamkan motosikal kepadanya.
Ashari berkata, pemuda itu bagaimanapun berjaya diberkas dan hasil saringan ujian air kencing dilakukan ke atasnya mendapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Parang digunakan suspek yang sepanjang 45 sentimeter turut dirampas. Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Mangsa pula berada dalam keadaan stabil dan sedang dalam pemantauan rawatan oleh doktor di Hospital Melaka,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Adik tetak abang berang enggan pinjamkan motosikal appeared first on Kosmo Digital.