KOTA KINABALU – Anggota sindiket dadah terbesar di Sabah termasuk dalang utama yang juga seorang ahli perniagaan bergelar Datuk tiba di Mahkamah Kota Kinabalu untuk pendakwaan sebentar tadi.
Tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 8.18 pagi, kelihatan lori polis membawa sindiket kartel dadah terbabit dikawal ketat anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dibantu bersama oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada 26 Disember lalu memaklumkan Bukit Aman menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah, yang disyaki mula beroperasi sejak 2015.

Dalam serbuan serbuan pukul 2.45 pagi pada 25 Disember lalu di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna itu, polis menahan 10 lelaki termasuk dalang utama sindiket berusia 40 tahun yang bergelar Datuk.
Siasatan awal mendapati, sindiket memperoleh bekalan dadah dari negara jiran sejak 2015 dan menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Sabah untuk pasaran sekitar negeri terbabit, selain turut diseludup ke Indonesia dan Filipina. – KOSMO! ONLINE
The post Anggota sindiket dadah terbesar Sabah tiba di Mahkamah Kota Kinabalu untuk pendakwaan appeared first on Kosmo Digital.