Atlet kayak masih di ICU, selesai jalani pembedahan

ISKANDAR PUTERI – Atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Md Elias kini berada dalam unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di sini selepas selamat menjalani pembedahan tulang pelvis dan bahagian bahu kanan.

Perkembangan terkini atlet wanita berusia 22 tahun itu dimaklumkan abangnya, Muhammad Syafiq, 29, ketika ditemui di perkarangan hospital swasta itu hari ini.

Katanya, adiknya perempuannya itu selamat menjalani pembedahan tersebut dan berada dalam keadaan stabil.

“Buat masa ini, doktor yang merawatnya memaklumkan Masyitah selamat menjalani pembedahan tulang pelvis dan tulang bahu yang patah.

“Cuma bahagian luka besar di bahagian bahu kiri dan bahagian pinggang belum buat kerana belum ada perbincangan dengan doktor pakar lagi, dan dijangka akan menjalani pembedahan plastik selepas ini,” katanya ketika ditemui di hospital hari ini.

Terdahulu, akhbar melaporkan pelajar semester enam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan itu terlibat kemalangan di Lebuh Raya Penyuraian Trafik Timur (EDL), Sabtu lalu.

Kemalangan itu berlaku setelah anak kelima daripada lapan beradik itu dirempuh pemandu mabuk dan diseret sejauh kira-kira 100 meter.-KOSMO! ONLINE

The post Atlet kayak masih di ICU, selesai jalani pembedahan appeared first on Kosmo Digital.