SEREMBAN – Idea seorang anak muda yang menyediakan perkhidmatan membeli barang dapur secara dalam talian dikenali ‘Pasar Online Nismilan’ mendapat sambutan daripada orang ramai ketika pandemik Covid-19 melanda negara.
Pengusaha Pasar Online Nismilan, Muhammad Haziq Farhanuddin Abd. Hamid, 23, berkata, perkhidmatan ini amat memudahkan pelanggan kerana mereka membantu membeli barang dapur yang dipesan dengan pakej siap siang dan dihantar terus ke rumah.
“Idea untuk sediakan perkhidmatan ini tercetus sejak Julai 2020 ketika fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila saya diminta oleh pelanggan untuk membeli barang seperti ayam, ikan, daging, makanan laut dan sayur.
“Bertitik tolak dari situ, saya terfikir untuk menyediakan sekali pakej barang dapur yang siap disiang dan dibersihkan dengan penghantaran terus di depan pintu rumah,“ katanya ketika ditemui di premis kedainya di Senawang di sini.
Berkongsi kisah perniagaannya, Muhammad Haziq yang merupakan guru mengaji al-Quran dan pernah menjual ketam di tepi jalan berkata, pada peringkat awal dia menjalankan perniagaan dari rumah ke rumah.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan pelanggan terutama golongan ibu bekerjaya serta suri rumah memaklumkan perkhidmatan Pasar Online Nismilan memudahkan kerja dapur mereka.
“Pelanggan hanya perlu membuat pesanan sehari sebelum, bayar dan tunggu barang tiba, sangat mudah tanpa perlu bersesak-sesak ke pasar,” katanya.
Tambahnya, hasil keuntungan yang diperoleh, kini dia mampu beroperasi di premis kedai pada Februari lalu serta berkongsi rezeki dengan menggajikan 20 pekerja.
Ujarnya, dalam sehari Pasar Online Nismilan menerima lebih 100 pesanan dan penghantaran dibuat bermula pukul 11.30 pagi di beberapa lokasi termasuk Seremban, Sendayan, Nilai, Kuala Pilah, Port Dickson, Rembau dan Jelebu.
Orang ramai yang berminat boleh membuat pesanan barang dapur melalui Instagram @pasaronlinenismilan atau Facebook @Pasar Online N9.
The post Barang siap siang hantar ke rumah appeared first on Kosmo Digital.