‘Bau minyak tanah ketika masuk pesawat’

PETALING JAYA – Salah seorang jemaah umrah mendedahkan dirinya terhidu bau minyak tanah semasa baru masuk ke pesawat yang berpatah balik ketika dalam perjalanan ke Jeddah, semalam.

Penumpang tersebut yang dikenali sebagai Henri Kurnia berkata, pesawat Malaysia Airlines MH156 bertolak sekitar pukul 3.20 petang sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.50 petang.

Menurut perkongsiannya di Facebook, Henri bersama isterinya serta tiga anaknya antara 250 jemaah umrah yang berada dalam pesawat berkenanaan.

Katanya, itu adalah kali pertama dia sekeluarga akan berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah.

“Saya salah seorang penumpang pesawat tersebut. Sewaktu baru masuk pesawat ada bau macam kerozin (minyak tanah).

“Mohon pihak Malaysia Airlines tidak menggunakan pesawat yang sama untuk kami berangkat esok (hari ini)”, katanya.

Bagaimanapun, Henri tetap berterima kasih kepada pihak Malaysia Airlines kerana bertanggungjawab menyediakan tempat penginapan untuk mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah dan terima kasih Malaysia Airlines bertanggungjawab menyediakan kami penginapan untuk malam ini,” katanya.

Difahamkan pesawat para jemaah daripada dua agensi tersebut dijadualkan bertolak ke Tanah Suci Mekah pada pukul 9 pagi hari ini untuk menunaikan umrah.

Terdahulu, media melaporkan pesawat Malaysia Airlines yang membawa 250 jemaah umrah terpaksa berpatah balik selepas hampir dua jam berlepas dari KLIA.

Malaysia Airlines dalam kenyataan semalam mengesahkan bahawa penerbangan MH156 ke Jeddah berpatah balik ke Kuala Lumpur disebabkan masalah teknikal sebaik sahaja berlepas.

Kenyataan itu menjelaskan pesawat berkenaan selamat mendarat pada 4.56 petang.

Semua penumpang ditempatkan di sebuah hotel dan penerbangan baharu mereka dijadualkan semula yang akan berlepas pada 9 pagi hari ini.

“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang dan kru kami tetap menjadi keutamaan,” menurut kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Bau minyak tanah ketika masuk pesawat’ appeared first on Kosmo Digital.