Cikgu lengkap 2 dos bakal terbeban

PETALING JAYA – Cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) mahu memberi tugasan lain kepada seramai 2,500 guru yang menolak pemberian vaksin dikhuatiri bakal membebankan guru telah divaksin.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, jumlah 2,500 guru menolak vaksin itu adalah sangat ramai dalam konteks persekolahan di Malaysia.

“Pada waktu masih ada sekolah di Malaysia kekurangan guru, ketiadaan 2,500 guru untuk mengajar dalam kelas apabila sekolah dibuka semula akan me­nimbulkan masalah lain.

“Guru yang telah vaksin mungkin akan diminta menggantikan tugas mengajar guru terbabit. Ini akan menambah beban sedia ada para guru dan boleh memberi kesan kepada pendidikan pelajar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jumaat lalu KPM memaklumkan kesemua 2,500 guru yang menolak pemberian vaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka dan akan diberi tugasan lain di sekolah.

Anuar berkata, guru tanpa suntikan vaksin tetap berada di kawasan sekolah melakukan tugas lain dibimbangi akan menimbulkan kekhuatiran dalam kala­ngan ibu bapa.

Justeru, katanya, KPM perlu mempunyai pendekatan lebih jelas dan meyakinkan berhubung kedudukan 2,500 guru terbabit supaya ibu bapa berasa selesa untuk menghantar anak ke sekolah.

Jelas beliau, pelajar lain terus mengikuti pengajaran dan pem­belajaran di rumah sehingga semua guru serta pelajar telah divaksin dan kes jangkitan Co­vid-19 telah berjaya diturunkan.

“Kita khuatir ramai ibu bapa belum bersedia untuk menghantar anak mereka ke sekolah disebabkan kes jangkitan masih tinggi.

“Keadaan itu akan mewujudkan dua kelompok pelajar iaitu yang ke sekolah dan tidak ke sekolah sekali gus menyulitkan pihak sekolah dalam memastikan pendidikan kedua-dua kelompok itu,” katanya.

Sementara itu, guru sekolah rendah yang hanya mahu dikenali sebagai Cikgu Nan, 43, berkata, guru yang tidak divaksin perlu melakukan ujian saringan ken­diri setiap minggu dengan kos yang ditanggung sendiri.

 

The post Cikgu lengkap 2 dos bakal terbeban appeared first on Kosmo Digital.