PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya perlu membayar denda sebanyak RM50 juta berbanding jumlah asal iaitu RM210 juta berikutan kesalahan beliau menyeleweng dana SRC International Sdn. Bhd.
Keputusan itu diputuskan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari 2024 di mana Najib menerima pengurangan denda 50 peratus.
Menurut Urusetia Lembaga Pengampuna Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah dipertimbangkan Lembaga Pengampunan.
Katanya, Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu turut dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu iaitu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
“Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan
dan Putrajaya memutuskan hukuman Najib diberikan pengurangan 50 peratus.
“Oleh itu, Najib dipersetujui dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Pun begitu, katanya, jika Najib tidak membayar denda ditetapkan, tempoh penjara beliau akan ditambah selama setahun dimana tarikh pembebasannya ialah pada 23 Ogos 2029.
Sebelum ini, spekulasi mengenai pembebasan bekas Presiden UMNO itu hangat diperkatakan selepas sebuah agensi media luar negara melaporkan Najib bakal diberikan pengurangan hukuman dan denda, namun tidak mengesahkan jumlahnya secara tepat.
Pada 8 Disember 2021, Najib gagal dalam cubaan untuk melepaskan diri daripada hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.
Ketika ini, bekas Ahli Parlimen Pekan itu masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB. – KOSMO! ONLINE
The post Denda Najib dikurangkan kepada RM50 juta daripada RM210 juta appeared first on Kosmo Digital.