MELAKA – Dua beradik maut, manakala ibunya kritikal selepas terperangkap dalam asap tebal kebakaran di sebuah bangunan kedai tiga tingkat di Plaza Mahkota, dekat sini, hari ini.
Mangsa, Nuralia Karisa Abdullah, 12, dan adiknya Nur Riaisha Zahra, 2, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kebakaran disedari berlaku kira-kira pukul 1.30 petang oleh pemilik kedai di tingkat bawah bangunan yang terus menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan.
Katanya, kebakaran dikatakan berlaku di tingkat satu premis dan kejadian turut disaksikan oleh pasangan suami isteri yang berada di dalam bilik sewa di tingkat dua.
“Suami isteri itu melihat asap tebal mulai masuk ke dalam bilik dan terus menyelamatkan diri sebelum dibawa ke Hospital Melaka oleh pasukan bantuan yang tiba.
“Hasil pemeriksaan dalam bangunan, pasukan bomba berjaya mengesan dan mengeluarkan tiga mangsa iaitu dua kanak-kanak dan ibu mereka yang terperangkap di tingkat tiga. Ketiga-tiga beranak itu dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, dua beradik itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia dipercayai akibat menghidu asap tebal kebakaran, manakala ibu mereka Azliha Ngah Ariffin, 40, dalam keadaan kritikal.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasil soal siasat saksi mengatakan tingkat satu sehingga tingkat tiga premis itu mempunyai beberapa buah bilik sewa, namun penyewa lain dipercayai keluar bekerja semasa kejadian berlaku.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd. Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.33 petang dan jentera dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sejurus menerima maklumat menerusi panggilan 999, kita terus menggerakkan kira-kira 40 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian dan sehingga kini kerja-kerja pemadaman masih dijalankan.
“Kita percaya mangsa yang terlibat mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal dan pasukan juga menghadapi kesukaran memadamkan kebakaran susulan api telah merebak, selain setiap tingkat bangunan telah dipenuhi asap,”katanya ketika ditemui di sini.
Katanya, setakat ini masa ini punca kebakaran dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan.-KOSMO! ONLINE
The post Dua beradik maut hidu asap tebal kebakaran, ibu kritikal appeared first on Kosmo Digital.