Dua maut termasuk kanak-kanak usia 3 tahun nahas dua kenderaan

JELEBU – Dua maut termasuk kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun selepas terbabit dalam nahas dua buah kenderaan di Kilometer 19, Jalan Seremban – Simpang Pertang, dekat Bukit Tangga, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, dalam kemalangan kira-kira pukul 7.30 malam itu, kedua-duanya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jelebu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki sebuah keluarga dari arah Seremban ke Kuala Klawang telah hilang kawalan lalu memasuki ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan penunggang motosikal yang datang dari arah Kuala Klawang menghala ke Seremban.

“Akibat daripada kemalangan tersebut salah seorang penumpang kereta iaitu kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan penunggang motosikal seorang lelaki Melayu berusia 48 tahun telah meninggal dunia semasa menerima rawatan.

“Bedah siasat akan dijalankan pada pagi ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat kejadian tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau boleh menghubungi terus Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu Inspektor Nurshazleen Miswan di talian 019-7805252. – KOSMO! ONLINE

The post Dua maut termasuk kanak-kanak usia 3 tahun nahas dua kenderaan appeared first on Kosmo Digital.