SUBANG JAYA – Dua pasangan suami isteri termasuk seorang lelaki tempatan dicekup selepas disyaki terbabit lebih 15 kes pecah rumah sekitar daerah ini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima aduan kejadian pecah rumah daripada seorang wanita tempatan berusia 46 tahun, Khamis lalu.
Katanya, ketika kejadian mangsa telah keluar dari rumahnya di Puchong, Selangor pada pukul 8.35 pagi untuk pergi ke tempat kerja sebelum pulang semula pada 12.30 tengah hari.
“Semasa tiba di rumah, mangsa mendapati pintu pagar telah dirosakkan dan bingkai besi pintu utama telah diumpil serta rumah dalam keadaan berselerak.
“Mangsa juga mendapati barang-barang berharga serta wang tunai miliknya serta keluarga telah hilang dan mengalami kerugian RM40,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil risikan dan maklumat diterima, Wan Azlan memaklumkan Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya telah menangkap tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 22 hingga 32 tahun dipercayai terlibat dengan kes disiasat.
Jelas beliau, serbuan pada pukul 8 malam di sekitar Lembah Klang itu mendapati kesemua tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau.
“Pihak polis turut merampas sebahagian barang kes seperti jam tangan dan beg tangan wanita.
“Hasil soal siasat awal terhadap tangkapan, pihak polis berjaya menyelesaikan lebih daripada 15 kes pecah rumah di daerah ini,” katanya.
Wan Azlan memberitahu, kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksuen 457 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah diminta untuk tampil membantu siasatan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.
The post Dua pasangan suami isteri samun lebih 15 rumah di Subang Jaya dicekup appeared first on Kosmo Digital.