EPL: Petisyen gantung Haaland tak berjaya

MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola melahirkan rasa ‘kecewa’ selepas penyerang sensasinya, Erling Haaland hanya meledak satu gol ketika pasukan kendaliannya menewaskan Southampton 4-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Etihad kelmarin.

Haaland memulakan kempen musim pertamanya bersama The Citizens dengan prestasi luar biasa apabila berjaya meledak 20 gol hanya menerusi 12 penampilan.

Setakat ini, dia telah meledak 15 gol untuk aksi EPL, manakala lima lagi gol berjaya dihasilkan dalam saingan Liga Juara-Juara selain berjaya mencipta hatrik dalam tiga aksi di laman sendiri berturut-turut.

Beberapa hari lalu, terdapat satu petisyen dilancarkan oleh peminat bola sepak di England supaya menghalang Haaland daripada terus beraksi kerana dia terlalu handal dan sehingga kini seramai 300 orang sudahpun menandatanganinya.

Pada aksi menentang Sout­hampton itu, Joao Cancelo, Phil Foden dan Riyad Mahrez terlebih dahulu berjaya meledakkan jaringan sebelum Haaland menutup malam cemerlang dengan gol keempat untuk City.

“Saya sangat ‘kecewa’ dengan Haaland. Dia gagal menjaringkan tiga gol menyebabkan petisyen tersebut tidak dapat dilaksanakan,” kata Guardiola secara berseloroh.

Tambahnya, jangkaan untuk Haaland sangat tinggi apabila ramai yang berharap dia mampu meledak tiga atau empat gol setiap kali turun beraksi, namun beliau tetap gembira apabila pemainnya itu mampu meledak gol biarpun sekadar satu jaringan.
– AGENSI

The post EPL: Petisyen gantung Haaland tak berjaya appeared first on Kosmo Digital.