HAMBURG – Ketua Jurulatih Portugal, Roberto Martinez mengakui anak-anak buahnya tewas dengan bermaruah selepas tersingkir di peringkat suku akhir susulan kekalahan penentuan penalti 3-5 kepada Perancis semalam.
Pada perlawanan itu, skuad A Selecao mempamerkan aksi terbaik pada kempen Euro 2024 kali ini, tetapi tidak bernasib baik apabila beberapa peluang yang diraih sepanjang 120 minit saingan berjaya dinafikan penjaga gol Perancis, Mike Maignan.
Ketika saingan terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti, Cristiano Ronaldo, Bernardo Silva dan Nuno Mendes berjaya melunaskan sepakan yang diambil, manakala rembatan Joao Felix sekadar menggegar palang.
Kata Martinez, barisan pemain sudah mencurahkan sepenuh jiwa dan tenaga di atas padang dalam usaha untuk mara ke kelompok empat negara terbaik, tetapi nasib tidak menyebelahi pasukan.
“Secara peribadi, saya lihat pasukan telah memberikan yang terbaik untuk menghadiahkan kemenangan buat penyokong. Namun, kami tetap tewas dan saya anggap kita kalah bermaruah selepas memberikan segalanya.
“Saya harap kekalahan ini dapat memberi pengalaman berharga terutama buat barisan pemain muda kami. Mereka pasti membuatkan penyokong di tanah air bangga selain percaya masa depan bola sepak Portugal sangat cerah,” katanya.
Sementara itu, Martinez mengakui masih belum mengetahui status dua pemain veteran pasukan, Pepe dan Cristiano Ronaldo sama ada akan bersara di pentas antarabangsa atau sebaliknya.
“Saya tidak tahu apa-apa lagi tetapi kita boleh lihat Pepe pamerkan semangat juang tinggi pada usia 41 tahun. Situasi sama melibatkan Ronaldo yang mana tiada keputusan dapat dibuat ketika pasukan masih dilanda kekecewaan ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Silva mengakui kekalahan yang dialami cukup perit untuk ditelan apabila pasukan merasai apa yang dialami oleh Slovenia ketika tewas menerusi penentuan sepakan penalti pada peringkat 16 terbaik sebelum ini.
“Bola sepak sangat kejam, sekarang kita alami apa yang telah Slovenia rasakan. Ini adalah pengajaran terbaik buat pasukan dan saya harap kita dapat tampil lebih kuat sebagai satu unit pada saingan akan datang,” katanya. – AGENSI
The post Euro 2024: Portugal rasai keperitan ditanggung Slovenia appeared first on Kosmo Digital.