JOHOR BAHRU – Satu kumpulan pecah rumah melibatkan enam etnik Rohingya yang didalangi seorang wanita berusia 34 tahun berjaya ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kesemua suspek terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki berusia 15 hingga 34 tahun itu ditahan di Kota Tinggi pada 25 September lalu.
Menurut beliau, wanita yang merupakan dalang itu juga mempunyai 54 rekod lampau bersabit jenayah pecah rumah di beberapa buah negeri sejak tahun 2014.
“Modus operandi digunakan kumpulan ini adalah memecah masuk rumah kediaman pada waktu pagi setelah penghuninya keluar bekerja. Mereka menyasarkan barangan yang mudah dijual di pasaran gelap seperti barang kemas, jam tangan, beg berjenama serta wang tunai.
“Kesemua suspek ini dipercayai terlibat dengan 21 kes pecah rumah di Kota Tinggi, Kulai, Pontian, Batu Pahat serta Melaka. Anggaran kerugian kesemua kes itu adalah RM1.25 juta, manakala barangan berharga yang berjaya dirampas kembali bernilai RM675,500,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di IPK Johor, di sini hari ini.
Tambah Kumar, dalang kumpulan itu bersama seorang lagi suspek mempunyai kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), manakala empat yang lain tiada dokumen pengenalan diri.
“Dua daripada enam suspek juga telah dituduh di Mahkamah Pontian pada Februari lalu kerana kesalahan pecah rumah dan kes masih dalam perbicaraan.
“Kesemua suspek yang dipercayai ahli keluarga itu kini ditahan di IPK Melaka bagi membantu siasatan berhubung jenayah pecah rumah di negeri berkenaan sebelum didakwa terhadap 19 pertuduhan di negeri ini,” ujarnya.
Kumar turut memberitahu, pihaknya sedang mengesan seorang lagi lelaki etnik Rohingya yang dikenali sebagai Mohammad Shukur Mohamad Salim, 29, bagi membantu siasatan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Geng perompak Rohingya tumpas appeared first on Kosmo Digital.