Guru direman kes noda murid lelaki

KOTA BHARU – Seorang guru matematik di sebuah sekolah dekat Tumpat di sini direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelakinya yang berusia 12 tahun sejak Mac lalu.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 49 tahun yang bermula hari ini hingga 14 September depan itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid.

Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Guru tersebut dipercayai melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak itu di sebuah sekolah semasa sesi persekolahan.

Perbuatan itu turut dilakukan di dalam sebuah kereta di kawasan sebuah pusat beli-belah di sini dan di dalam sebuah resort dekat Pantai Cahaya Bulan, selain dipercayai sering mengambil mangsa untuk keluar berjalan-jalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post Guru direman kes noda murid lelaki appeared first on Kosmo Digital.