Hafizul suspek kes tembak KLIA 1 direman tujuh hari

KOTA BHARU – Suspek kes tembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Hafizul Harawi, 38, direman tujuh hari sehingga Isnin depan.

Perintah reman yang bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret di sini.

Perintah tahanan reman itu bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu dan pelitup muka tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu kira-kira pukul 8.27 pagi dengan dikawal ketat oleh anggota polis.

Kosmo! Online semalam melaporkan, suspek yang cuba membunuh isterinya dengan melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1, Hafizul Harawi, 38, ditahan di Kota Bharu semalam selepas 36 jam diburu polis.

Terdahulu, seorang lelaki telah melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang pengawal peribadi dalam kejadian pukul 1.20 pagi kelmarin.

Wanita yang menjadi sasaran dalam insiden itu terselamat dan pihak polis memaklumkan kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dan isterinya. – KOSMO! ONLINE

The post Hafizul suspek kes tembak KLIA 1 direman tujuh hari appeared first on Kosmo Digital.