Hanya bermula dengan hobi TCG, mampu jana untung jutaan ringgit

PETALING JAYA – TCGKL telah menganjurkan satu acara pame­ran dan jualan berkaitan permainan kad dagangan (TCG) yang menghimpunkan semua pedagang dalam industri tersebut dari seluruh negara dan juga dari negara jiran, Singapura.

Program sehari yang dijadikan sebagai platform pertemuan bagi semua peminat TCG bukan sahaja daripada golongan dewasa dan kanak-kanak itu juga memberi peluang kepada pedagang mempamerkan produk, per­khidmatan dan inovasi ma­sing-masing kepada pelanggan sedia ada, pe­langgan baharu dan juga rakan kongsi.

Pengarah Acara TCGKL, Iman Humaira Mohd Zaid berkata, pameran ini telah menemukan para peminatnya untuk mendapatkan kad permainan Pokemon, Dra_gonBall, One Piece dan Jujutsu Kaisen.

 

 

Menurutnya, program ini juga dapat menjadikannya sebagai pusat sehenti untuk peminat TCG mendapatkan kad yang tulen dan dapat mengelakkan penipuan.

“Pengunjung akan diajar cara untuk membezakan antara kad yang palsu dan tulen serta mendedahkan kepada mereka cara untuk mereka melihat harga pasaran terkini kad yang mereka beli.

“Kami ingin mendedah­kan secara meluas tentang TCG kepada orang ramai meman­dangkan masih ramai yang ti­dak tahu tentang industri berpotensi ini.

“Apa yang menarik, ia juga boleh didagangkan untuk membolehkan pemilik kad mengaut keuntungan pada masa depan.

“TCG boleh dijadikan sebagai memenuhi minat atau hobi individu yang boleh bertukar menjadi keuntu­ngan kerana nilai kad yang dibeli atau diperoleh boleh mencecah ribuan dan jutaan ringgit, mengikut gred dan keunikan kad tersebut dalam pasaran terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pameran tersebut di sini baru-baru ini.
Sementara itu, salah seorang pengunjung yang ditemui dalam acara tersebut yang ingin dikenali sebagai Lim berkongsi pendapat, TCG lebih untung berbanding pelaburan saham kerana risiko kerugiannya sangat rendah.

“Jika kita tidak mahu menjualnya sekarang, kita boleh simpan dulu kad ini. Apabila harga pasaran sudah naik, kita boleh menjualnya dengan harga yang lumayan bahkan boleh mence­cah puluhan ribu ringgit hanya dengan menjual satu kad sahaja.

“Kad ini bernilai di peringkat global dan kita boleh menjualnya di platform online agar peminat dari seluruh dunia membelinya,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE

The post Hanya bermula dengan hobi TCG, mampu jana untung jutaan ringgit appeared first on Kosmo Digital.