KUALA LUMPUR – Dapatan awal Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berhubung isu dalam rantaian industri bekalan ayam mendapati sebanyak lima perusahaan telah melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, perkara itu terkandung dalam Keputusan Cadangan yang dikeluarkan MyCC selepas penilaian teliti dibuat terhadap laporan siasatan oleh Pasukan Khas MyCC.
“Pada 27 Jun 2022, Pasukan Khas MyCC telah membentangkan laporan penyiasatannya. Selepas penilaian teliti dibuat terhadap laporan penyiasatan tersebut, MyCC sebagai badan separa kehakiman secara awalnya, melalui Keputusan Cadangan mendapati perusahaan-perusahaan tersebut telah melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010
“Mereka memasuki perjanjian antipersaingan dan/atau amalan bersepadu dalam menaikkan kuantum harga makanan ayam yang mengandungi kacang soya dan jagung sebagai bahan utamanya antara awal tahun 2020 sehingga pertengahan tahun 2022,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
MyCC pada 1 Februari lalu mengumumkan penubuhan pasukan khas untuk menyiasat sehingga ke akar umbi isu persaingan dalam industri ayam dan telur di Malaysia.
Tindakan itu selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengarahkan MyCC menyiasat isu tersebut dalam usaha menyelesaikan kenaikan harga ayam dan telur ayam.
MyCC ketika itu menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Persaingan 2010. – KOSMO! ONLINE
The post Isu kartel ayam: Lima perusahaan didapati langgar Akta Persaingan 2010 appeared first on Kosmo Digital.