CHA Eun-woo, bukan satu nama asing dalam industri hiburan Korea Selatan. Memiliki pakej lengkap, Eun-woo bukan sahaja mendakap populariti di negara kelahiran tetapi namanya turut meledak di seluruh dunia.
Mula dikenali sebagai anggota kumpulan Astro, Eun-woo seterusnya menempa nama sebagai pelakon dan meledak dengan beberapa drama popular lakonannya seperti True Beauty dan A Good Day To Be A Dog.
Mengubat kerinduan peminat di Malaysia, platform penstriman video OTT, Viu bakal menambat hati ramai dengan membawa Eun-woo sempena siri jelajah iaitu 2024 Just One 10 Minute: Mystery Elevator di Stadium Malawati Shah Alam pada 24 Februari depan.

Konsep tersebut mula diperkenalkan pada pertemuan bersama peminat di beberapa buah negara Asia sebelum ini dan mendapat maklum balas yang sangat baik berikutan persembahan beliau yang mantap dan berkualiti tinggi.
Siri jelajah solo tersebut bukan hanya diadakan di Malaysia tetapi turut meliputi beberapa buah negara Asia lain seperti Korea Selatan, Thailand, Jepun, Filipina, Singapura dan Indonesia bermula 13 Februari depan sehingga 20 April.
Acara tersebut merupakan sebahagian daripada siri Viu Scream Dates yang merupakan acara bertemu peminat yang ditawarkan Viu di seluruh pasarannya.
Viu Scream Dates yang sudah diadakan beberapa kali itu bertujuan untuk memperluaskan pengalaman Viu di luar skrin selain mendekatkan para selebriti dengan peminat mereka melalui acara dan pengalaman langsung.
Nikmati sendiri jelajah ‘fan concert’ Eun-woo di Malaysia dengan tiga pilihan tiket: VVIP (RM858), VIP (RM558), dan CAT1 (RM358). Semua pemegang tiket akan menerima kad foto yang ditandatangani Eun-woo.
Tiket boleh didapati dalam laman web Ticket2u.com untuk pra-jualan kelab rasmi peminat Eun-woo pada 10 Januari 2024 pukul 12 tengah hari hingga 11.59 pagi 11 Januari.
Pelanggan Viu Premium pula akan berkesempatan bertemunya pada 11 Januari 2024 pukul 12 tengah hari hingga 11.59 pagi, 12 Januari. Jualan umum akan bermula pada 12 Januari 2024, waktu yang sama.
Pemegang tiket VVIP pula layak mendapat pas eksklusif untuk sesi Hi-Bye dan raptai dengan hanya 30 individu bertuah yang akan menerima kad foto istimewa tulisan tangan oleh Eun-woo sendiri.
Malah, 100 pemegang tiket VVIP dan 25 pemegang VIP dan CAT1 berpeluang menerima poster yang telah ditandatangani oleh Eun-woo.
Selain itu, peminat dari semua kategori pula berpeluang untuk memenangi sejumlah 10 barangan eksklusif yang ditandatangani aktor tersebut.
The post Jatuh cinta 10 minit bersama Cha Eun-Woo appeared first on Kosmo Digital.