Kadar bayaran fidyah kekal

ALOR SETAR – Kadar bayaran fidyah (denda meninggalkan puasa) di negeri ini kekal namun tertakluk kepada kadar zakat fitrah yang ditetapkan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Datuk Syeikh Yahaya Jusoh, pengisytiharan kadar baharu jika ada akan dilakukan lembaga zakat berkenaan mengikut situasi harga beras terkini.

“Kalau ikutkan sekarang harga masih kekal belum lagi isytihar harga baharu. Kadar fidyah bergantung kepada zakat fitrah dengan kaedah perkiraan, satu perempat iaitu nilai zakat fitrah dibahagi empat itulah nilai fidyah iaitu denda meninggalkan puasa ini.

“Setakat ini tiada kadar baharu zakat fitrah,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Minum Petang Baitulmal, di sini semalam.

Menurut beliau, Baitulmal mencatatkan kutipan Skim Tabung Amanah untuk Fidyah hampir RM3 juta sehingga 15 September tahun ini sementara RM3.4 juta pada 2021 dan RM3.5 juta (2022).

“Sementara kutipan bagi kategori Wang Tak Patuh Syariah juga meningkat iaitu RM399,098 setakat 15 September ini berbanding RM287,455 pada tahun lepas. Kutipan bagi Luqatah pula sebanyak RM53,368 pada tahun ini dan RM36,757 bagi tahun lepas. – KOSMO! ONLINE

The post Kadar bayaran fidyah kekal appeared first on Kosmo Digital.