PARIT BUNTAR – Kerajaan bersetuju untuk menambah baik Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dengan meningkatkan kadar subsidi daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan langkah itu, pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1700 per metrik tan dan secara langsung akan meningkatkan pendapatan mereka serta memberi motivasi untuk meningkatkan pengeluaran.
“Peningkatan ini juga selari dengan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Saya telah arahkan supaya langkah ini dilaksanakan segera dan berkuat kuasa pada hari esok, 9 Ogos 2023.
“Kenaikan kadar SSHP melibatkan implikasi kewangan tambahan sekitar RM360 juta setahun dan dengan itu, jumlah peruntukan SSHP akan mencecah RM1 bilion setahun,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sentuhan Agromadani Peringkat Negeri Perak di Dataran Kerian Permai di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan juga komited untuk menyemak semula mekanisme penggredan padi berdasarkan parameter pengilangan iaitu daripada segi kualiti, kelembapan dan kebersihan varieti padi bagi menjamin harga yang berpatutan dan adil kepada pesawah padi.
Anwar berkata, inisiatif itu diharap dapat meningkatkan pendapatan sara diri pesawah dan memastikan keterjaminan makanan ruji negara iaitu beras terus meningkat.
“Dalam masa yang sama merealisasikan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam menaik taraf sosioekonomi pesawah dan menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kadar subsidi padi naik RM500 mulai esok – Anwar appeared first on Kosmo Digital.