Kain layah terapung Mas Idayu curi tumpuan

PETALING JAYA – Penyanyi dangdut popular Mas Idayu mencuri tumpuan ramai apabila mengenakan kain layah atau ‘veil’ terapung pada majlis persandingannya malam tadi.

Veil putih sepanjang lebih empat meter itu merupakan hasil rekaan pereka fesyen tempatan, Anas Abdullah.

Turut meraih perhatian ramai ialah veil tersebut terbang kerana diapungkan dengan menggunakan sebanyak 18 biji belon berwarna putih.

Rata-rata netizen teruja dan memuji keunikan busana pelantun lagu Selangit itu yang pertama kali dihasilkan di Malaysia.

Malah, ada juga yang melabelkan perkahwinannya sebagai Wedding Of The Year untuk tahun ini.

“Kreatifnya idea veil Mummy (gelaran Mas Idayu). Berbeza daripada pengantin lain!” komen netizen.

“Comelnya, belon yang tolong terbangkan veil. Tahniah Mummy!” puji seorang lagi pengguna TikTok.

Biarpun bukan perkahwinan pertama, Mas Idayu tetap berasakan pernikahan kali ini seperti pernikahan pertama mereka. Pasangan itu juga mendapat tajaan dianggarkan RM7 juta, merangkumi lokasi, katering, busana dan aksesori.

Terdahulu, melepaskan gelaran ibu tunggal selama 17 tahun, Mas Idayu atau nama sebenarnya Masidayu Mesnun, 50, selamat diijabkabul dengan penerbit stesen televisyen TV3, Muhamad Sufian Isa dalam sebuah majlis di Magica Event Hall di ibu negara.

Pasangan tersebut turut diraikan meriah dalam sebuah majlis persandingan di lokasi sama semalam.

Dia yang terkenal menerusi lagu Robek Hatiku itu mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai sembilan tahun kemudian.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun. – KOSMO! ONLINE

The post Kain layah terapung Mas Idayu curi tumpuan appeared first on Kosmo Digital.