PETALING JAYA – Kementerian Pertahanan (Mindef) merangka 10 inisiatif khusus bagi penduduk di Kampung Baru Pasak, Kota Tinggi, Johor menerusi Program Kampung Angkat Madani yang diperkenalkan melalui Belanjawan 2024 baru-baru ini.
Mindef dalam kenyataan berkata, sebanyak RM2.5 juta peruntukan diterima daripada Kementerian Kewangan bagi memastikan program tersebut berjaya.
“Justeru Mindef menyasarkan peningkatan taraf hidup penduduk desa yang akan dapat merapatkan lagi jurang perbezaan antara masyarakat desa dan bandar dengan melengkapkan kemudahan asas di kawasan desa yang terpinggir secara holistik.
“Sebanyak 152 keluarga dan seramai 600 isi rumah akan menerima manfaat dalam tahun ini,” menurut kenyataan itu hari ini.
Projek itu juga akan dipantau sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan keseluruhan projek berjalan mengikut garis masa yang dipersetujui iaitu pada Disember 2024.
Terdahulu, Mindef memaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak mengadakan Lawatan Kerja ke Kampung Baru Pasak sempena Program Kampung Angkat Madani Mindef, hari ini.
Sebanyak 10 inisitif bagi Program Kampung Angkat Madani Mindef itu melibatkan menaik taraf balai raya, infrastruktur (pintu gerbang, papan tanda dan lain-lain), pemasangan lampu jalan solat di Kawasan sekitar kampung dan membina surau baharu.
Inisiatif lain ialah membina dua unit pusat komuniti, membaik pulih gelanggang serbaguna baharu, membaik pulih rumah penduduk, gotong-royong perdana Madani – Mindef serta pelbagai program, kursus dan latihan. – KOSMO! ONLINE
The post Kampung Angkat Madani: 600 isi rumah terima manfaat tahun ini appeared first on Kosmo Digital.