Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh dari tingkat 29

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 29 di sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku ketika kanak-kanak berusia empat tahun itu ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan di rumah oleh bapanya dalam keadaan pintu berkunci kerana telah keluar untuk membeli barang.

“Apabila bapa mangsa pulang ke rumah, bapanya mendapati anaknya telah tiada. Bapa mangsa telah meminta bantuan daripada pihak pengurusan untuk mencari mangsa sebelum ditemui salah seorang kakitangan pengurusan di kawasan koridor tingkat lapan dalam keadaan tidak bernyawa.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tingkap di bilik mangsa dalam keadaan terbuka dan terdapat satu kerusi berada di tepi tingkap bilik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, bapa mangsa mengesyaki anaknya telah terjatuh dari tingkap rumah mereka.

“Tingkap di dalam bilik tersebut juga tidak mempunyai jeriji dan hasil siasatan lanjut mendapati  tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam insiden ini.

“Pihak Pengurusan telah menghubungi ambulans dari Hospital Selayang dan kematian mangsa telah disahkan oleh pegawai paramedik yang berada di tempat kejadian,” ujarnya.

Jelasnya, mayat telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – K! ONLINE

The post Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh dari tingkat 29 appeared first on Kosmo Digital.