JOHOR BAHRU – Syarikat pembekal daging sejuk beku LY Frozen Food Sdn. Bhd. didenda sebanyak RM1.5 juta selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan bersabit kesalahan kartel daging, tiga tahun lalu.
Pengarahnya, Yong Chee Keong, 42, pula dikenakan hukuman denda sebanyak RM100,000, jika gagal bayar enam bulan penjara selepas mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan yang dikenakan keatasnya.
Keputusan itu dibuat Hakim Fatimah Zahari selepas tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Sementara itu, Fatimah turut memerintahkan seorang lagi tertuduh iaitu pengurus stor, Chong Kim Kuang, 50, dibebas dan dilepaskan daripada kesemua tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.
Dalam pada itu, Fatimah turut memerintahkan seorang lagi pengarah syarikat iaitu Tan Siew Huak, 44, yang masih gagal dikesan pihak berkuasa sehingga hari ini dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa telah mengguna, memiliki dan menawarkan 3,418 kotak makanan sejuk beku menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan dua syarikat pembekal dari Australia selain menggunakan logo halal palsu serta menggunakan logo halal tanpa kelulusan daripada badan persijilan halal Australia.
Sementara itu, pada 12 Februari lalu, mahkamah sama telah melepas dan membebaskan Syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd., Kim Kuang, dan akauntan, Ng Yee Xin, 39, daripada 12 pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM12.9 juta antara Oktober 2018 hingga Disember 2020 lalu.-KOSMO! ONLINE
The post Kartel daging: Syarikat, pengarah didenda RM1.5 juta dan RM100,000 appeared first on Kosmo Digital.