KASA segerakan empat projek tebatan banjir di Baling

PUTRAJAYA – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan menyegerakan empat projek termasuk rancangan tebatan banjir susulan banjir kilat melanda beberapa lokasi di Baling, Kedah semalam.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara projek yang perlu disegerakan termasuk Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Baling Fasa 1 dengan kos RM15 juta dan RTB Baling Fasa 2 dengan kos RM160 juta.

“Ia termasuk pembinaan struktur sabo untuk mengurangkan risiko aliran debris dengan kos RM22 juta dan projek-projek kecil seperti mendalamkan sungai, membina benteng sungai, pembaikan jambatan, denai sungai yang dijangka bernilai RM6 juta.

“Empat projek itu perlu disegerakan berdasarkan penilaian pasukan teknikal terdiri daripada Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Md Nasir Md Noh,” katanya menerusi kenyataan di sini tadi.

Katanya, beliau dimaklumkan banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di Baling, Kedah itu adalah susulan daripada hujan berterusan selama tiga jam bermula pada 3 petang pada 4 Julai lalu.

“Bacaan aras hujan di stesen JPS Felda Teloi Kanan ialah 64 mm manakala stesen Kg. Sedim dan Kg. Iboi masing-masing merekodkan bacaan melebihi 40 mm.

“Bagaimanapun, data satelit Jabatan Perkhidmatan Meteorologi Malaysia menunjukkan taburan hujan yang lebih tinggi, lebih sekali ganda di Gunung Inas iaitu huluan Sungai Tiak dan Sungai Kupang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

The post KASA segerakan empat projek tebatan banjir di Baling appeared first on Kosmo Digital.